Panas!..

Teks ucapan penuh Menteri Pelajaran sempena Hari Guru 2011

Ketahui Teknik Rahsia Orang Korea Kekal Lansing..klik disini
ISTERI SUKA SUAMI TAHAN LAMA!!

Berikut adalah teks ucapan penuh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena sambutan Hari Guru 2011 yang berlangsung di Borneo Convention Centre di sini pada petang Isnin.

Dalam ucapannya itu, Muhyiddin telah mengumumkan beberapa keputusan penting tentang jawatan dan profesion perguruan.

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia;

Yang Amat Berhormat Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak;

Yang Berhormat Datuk Dr. Ir. Wee Ka Siong, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia;

Yang Berhormat Dr Mohd Puad Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia;

Yang Berbahagia Datuk Dr Rosli Mohamad, Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia;

Yang Berbahagia Datuk Abdul Ghafar Mahmud,Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia;

Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha dan Timbalan-Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia;

Pengarah Jabatan Pelajaran Sarawak, Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Pelajaran Malaysia;

Pengarah-Pengarah Pelajaran Negeri;

Dif-dif Jemputan, Tuan-tuan, Puan-puan dan para guru yang saya hormati sekalian.

1. Alhamdullillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita dapat berhimpun pada hari ini untuk menyambut Hari Guru sebagai tanda pengiktirafan kita yang tidak terhingga terhadap jasa dan sumbangan para guru sekalian.

2. Selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran, saya ingin mengambil kesempatan pada hari yang amat bermakna ini untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru, sama ada yang masih berkhidmat atau pun yang telah bersara. Saya bagi pihak kerajaan ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan di atas segala pengorbanan dan sumbangan besar guru-guru dalam meneruskan perjuangan mendidik anak bangsa dan memajukan negara kita.

Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara

3. Pemilihan tema Hari Guru tahun ini iaitu “Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara” pada hemat saya adalah amat bertepatan dengan peranan guru sebagai penggerak utama proses transformasi pendidikan, yang menjadi penentu kepada kejayaan transformasi negara kita. Sentuhan keramat guru telah melahirkan ramai cendakiawan, golongan profesional, usahawan, peniaga dan seluruh warga pekerja yang telah memberi sumbangan besar kepada pembangunan dan kemajuan negara kita selama ini.

4. Maka, pada saat negara kita sedang berada di ambang peralihan daripada sebuah negara membangun kepada sebuah negara maju berpendapatan tinggi, peranan guru menjadi lebih penting lagi. Di pundak guru-guru letaknya harapan kita semua untuk melihat kualiti pendidikan negara melonjak ke tahap yang terbaik, dan dengan itu memastikan sistem pendidikan negara kita dapat melahirkan modal insan yang berkualiti untuk memacu transformasi negara ke tahap yang lebih tinggi. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa seluruh harapan dan cita-cita rakyat untuk menjayakan proses transformasi negara dipertaruhkan kepada saudara dan saudari yang bergelar guru.

5. Kerajaan sememangnya telah membuat perencanaan yang amat rapi untuk menjayakan proses transformasi pendidikan negara. Ini termasuklah pelaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan yang merupakan mekanisme utama untuk menjayakan agenda penting ini. Namun, kita juga akur bahawa perencanaan yang rapi sahaja tidak menjamin keupayaan kita untuk mencapai setiap sasaran yang ditetapkan. Lebih penting ialah pengorbanan dan daya juang para guru dalam menjayakan setiap perencanaan yang dilakar oleh kerajaan. Untuk itu, saya ingin mengambil kesempatan pada hari yang amat bermakna ini untuk merakamkan ucapan jutaan terima kasih dan tahniah kepada para guru di atas jerih perih anda semua dalam mencapai sasaran-sasaran penting yang ditetapkan di bawah NKRA pendidikan, dan juga di bawah dasar-dasar serta program lain yang sedang dilaksanakan di Kementerian Pelajaran.

6. Dari segi pencapaian sasaran NKRA Pendidikan, Alhamdulillah, berkat curahan jasa dan bakti para guru sekalian, kita telah berjaya meningkatkan kadar penyertaan prasekolah kepada 72.42 peratus, iaitu melebihi sasaran 72 peratus yang ditetapkan untuk tahun 2010. Kadar literasi murid juga telah meningkat daripada 64 peratus kepada 85 peratus, manakala kadar numerasi meningkat daripada 73 peratus kepada 91 peratus. Kita juga telah mengumumkan senarai 20 buah Sekolah Berprestasi Tinggi pada tahun 2010 dan untuk tahun 2011 sebanyak 23 buah sekolah lagi telah diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi.

7. Lebih membanggakan kita, jasa guru untuk melonjakkan kecemerlangan pendidikan tidak mengenal batasan geografi. Guru-guru di pedalaman pun berupaya untuk melonjakkan prestasi sekolah. Ini dibuktikan misalnya dengan kejayaan SK Ulu Lubai, sebuah sekolah di kawasan pedalaman Sarawak, mendapat pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi pada tahun ini. Di samping itu, inisiatif Tawaran Baru juga telah menunjukkan hasil yang amat positif apabila guru-guru daripada 1,400 buah sekolah telah berjaya melepasi sasaran prestasi yang ditetapkan untuk sekolah masing-masing, dan dengan itu layak untuk menerima bayaran insentif di atas perkhidmatan mereka yang cemerlang.

8. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada guru-guru yang telah bertungkus lumus untuk menjayakan pelbagai inisiatif di bawah empat sub-NKRA pendidikan. Alhamdulillah, segala perit jerih guru-guru sekalian telah membuahkan hasil apabila Kementerian Pelajaran mendapat markah tertinggi dalam pencapaian KPI bagi tahun 2010. Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada guru-guru dan semua pegawai Kementerian yang telah membantu saya menerajui Kementerian Pelajaran dengan baik sehingga kita berjaya mencapai kejayaan yang cemerlang ini. Untuk itu, saya ucapkan syabas dan tahniah kepada guru-guru sekalian! Kejayaan yang amat bermakna ini adalah milik anda semua!

Sumbangan dan Sokongan Padu Guru

9. Walaupun telah banyak pencapaian yang dihasilkan dalam bidang pendidikan, masih banyak lagi yang perlu dilakukan oleh kita semua untuk memastikan supaya proses pemantapan kualiti pendidikan negara dapat berlaku secara berterusan. Atas kesedaran inilah, saya selaku Menteri Pelajaran telah menggagaskan beberapa dasar penting untuk dilaksanakan di setiap peringkat persekolahan.

10. Pertama, menyedari betapa mustahaknya anak-anak kita mempunyai tahap kesihatan dan kecergasan yang tinggi untuk membolehkan mereka menjadi manusia yang cerdas, maka saya telah memperkenalkan Dasar 1Murid 1Sukan. Dasar ini memberi peluang kepada setiap murid untuk melibatkan diri dalam acara sukan yang digemari dengan tujuan untuk meningkatkan tahap kecergasan dan kecerdasan mereka. Seperti kata pepatah Arab, “Al-‘aqlu al-salim, fi al-jismi al-salim”, yang bermaksud akal yang sihat terletak pada badan yang sihat.

11. Kedua, saya juga telah memperkenalkan dasar Memartabat Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). Kita sedar bahawa penguasaan bahasa Melayu adalah amat penting untuk memastikan setiap murid dapat menguasai ilmu yang diajar dalam bahasa Melayu, iaitu bahasa Kebangsaan negara kita dan bahasa pengantar di sekolah. Usaha memartabatkan bahasa Melayu perlu dimulakan di sekolah lagi supaya anak-anak kita mempunyai rasa hormat yang tinggi kepada bahasa Kebangsaan yang merupakan bahasa ilmu dan bahasa perpaduan di negara kita.

12. Pada masa yang sama, kita juga sedar bahawa penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid adalah amat penting untuk membolehkan mereka berkomunikasi dengan baik dalam bahasa Inggeris yang merupakan bahasa antarabangsa utama di dunia. Maka, di bawah dasar MBMMBI ini, Kementerian Pelajaran telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menambahbaik pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah. Ini termasuklah dengan menggunakan khidmat kepakaran guru penutur jati bahasa Inggeris yang ditempatkan di Institut Pendidikan Guru dan di zon-zon tertentu untuk melatih guru-guru meningkatkan ilmu dan kemahiran mengajar mata pelajaran bahasa Inggeris.

13. Ketiga, selaras dengan keperluan untuk melahirkan modal insan yang kreatif dan inovatif untuk memacu kemajuan negara, Kementerian Pelajaran telah memperkenalkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang memberi penekanan kepada pemupukan pemikiran kritis, kreatif dan inovatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Saya yakin transformasi kurikulum yang dilaksanakan pada tahun ini akan membuka lembaran baru kepada guru-guru untuk meneroka kaedah dan strategi pengajaran dan pembelajaran yang lebih kreatif untuk mengasah bakat dan daya kreativiti murid secara lebih berkesan.

14. Keempat, untuk memastikan pendidikan negara mampu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, maka saya telah memberi tumpuan khusus kepada program transformasi pendidikan teknik dan vokasional. Sebagai langkah untuk memastikan murid mendapat pendidikan vokasional dan kemahiran yang berkualiti, maka KPM akan mengambil guru vokasional dan kemahiran baru yang diiktiraf dari pasaran terbuka seperti pusat latihan kemahiran tinggi dan universiti teknikal awam. Proses pengambilan guru-guru tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka mencecah 10,000 orang menjelang penghujung 2015. Dengan pelbagai usaha yang dilaksanakan untuk memperkasa pendidikan teknik dan vokasional, insyaAllah, kita akan berjaya meningkatkan peratusan pelajar aliran teknikal dan vokasional daripada 10 peratus kepada 20 peratus menjelang tahun 2015.

"Exam PTD 2014"
"-HOT-Wangian khas untuk memikat wanita - Wanita pasti tergoda -.."

15. Kesemua dasar dan program yang saya sebutkan ini memerlukan sokongan padu para guru. Tanpa sokongan guru-guru sekalian, agak sukar untuk kita mencapai segala cita-cita murni yang dihasratkan melalui pelaksanaan dasar-dasar ini. Dasar akan tinggal dasar, perancangan akan tinggal perancangan. Untuk itu, saya berharap agar guru-guru sekalian dapat berada dalam satu saf bersama-sama saya dan seluruh kepimpinan Kementerian Pelajaran dalam melaksanakan setiap dasar ini dan seterusnya menjayakan agenda transformasi pendidikan demi masa depan negara kita.

Memartabatkan Profesion Keguruan

16. Sungguhpun jasa dan bakti guru sukar untuk dibalas, namun sebagai imbalan yang wajar kepada jasa-jasa guru, kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada usaha untuk memartabatkan profesion keguruan. Dalam hubungan ini, pelbagai program latihan dalam perkhidmatan telah dilaksanakan oleh Kementerian untuk meningkatkan profesionalisme keguruan. Ini termasuklah program pensiswazahan guru yang mensasarkan bilangan guru siswazah sebanyak 60 peratus di sekolah rendah dan 90 peratus di sekolah menengah menjelang tahun 2015.

17. Dari segi peluang kenaikan pangkat pula, kerajaan telah memperuntukkan pelbagai faedah kepada perkhidmatan perguruan yang tidak dinikmati oleh perkhidmatan-perkhidmatan lain. Perkhidmatan perguruan adalah satu-satunya perkhidmatan yang diperuntukkan dengan lima (5) kaedah kenaikan pangkat iaitu:

(i) kenaikan pangkat mengisi kekosongan jawatan,

(ii) kenaikan pangkat secara Khas Untuk Penyandang (KUP),

(iii) kenaikan pangkat secara time-based,

(iv) kenaikan pangkat untuk Pengetua atau Guru Besar cemerlang dan

(v) kenaikan pangkat Guru Cemerlang.

18. Di samping itu, perkhidmatan perguruan juga menikmati satu lagi bentuk imbuhan berasaskan prestasi yang tidak dinikmati oleh mana-mana perkhidmatan awam lain iaitu Bayaran Insentif Tawaran Baru kepada pengetua, guru besar dan warga sekolah yang berjaya melonjakkan prestasi sekolah masing-masing. Alhamdulillah, insentif Tawaran Baru ini telah membuahkan hasil yang amat baik apabila jumlah guru dan pemimpin sekolah yang berjaya mendapat ganjaran adalah jauh melebihi sasaran awal yang ditetapkan. Ini bermakna, guru-guru kita mempunyai motivasi yang amat tinggi untuk melonjakkan prestasi sekolah. Saya berharap agar pencapaian cemerlang ini akan menjadi pencetus semangat kepada guru-guru untuk meneruskan usaha murni meningkatkan pencapaian di peringkat sekolah.

19. Selain itu, kerajaan juga telah meluluskan Bayaran Insentif Sekolah Berprestasi Tinggi bagi menghargai jasa guru dan kakitangan sokongan yang berkhidmat di Sekolah Berprestasi Tinggi. Insentif ini adalah tanda pengiktirafan kerajaan terhadap sumbangan guru-guru dalam melahirkan sekolah-sekolah yang berpencapaian cemerlang di negara kita. Dengan usaha berterusan guru-guru di seluruh negara untuk melonjakkan prestasi sekolah, saya berkeyakinan bahawa sasaran mewujudkan 100 buah Sekolah Berprestasi Tinggi menjelang tahun 2013 akan dapat dicapai.

20. Sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besar para guru kepada negara, kerajaan juga sentiasa berusaha untuk menambahbaik skim perkhidmatan pendidikan. Terbaru ialah pengumuman YAB Perdana Menteri hari ini mengenai beberapa penambahbaikan dalam skim perkhidmatan pegawai pendidikan yang pastinya disambut baik oleh guru-guru sekalian.

21. Saya selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga kepada YAB Perdana Menteri yang telah memberikan tumpuan istimewa kepada profesyen keguruan dengan mengumumkan hadiah Hari Guru paling bermakna buat guru-guru di seluruh negara pada hari ini. Saya tahu YAB Perdana Menteri sentiasa mendengar keluhan guru-guru yang terpaksa mengambil masa terlalu lama untuk menikmati peluang kenaikan ke gred yang lebih tinggi.

22. Kerana itulah, walaupun dalam keadaan kerajaan perlu mengawal defisit negara, YAB Perdana Menteri masih bersedia untuk menawarkan penambahbaikan skim perkhidmatan pendidikan, dengan memberi nafas baru kepada kaedah kenaikan gred, khususnya secara time-based. InsyaAllah, dengan pengumuman yang telah dibuat oleh YAB Perdana Menteri, ramai guru akan menikmati manfaat kenaikan gred yang lebih cepat selepas ini.

23. Begitu juga dengan pertambahan jumlah jawatan Gred Khas C daripada 36 kepada 72 jawatan untuk guru-guru yang terlibat dalam pengajaran dan pembelajaran. Pertambahan sebanyak 100 peratus ini akan memperluaskan peluang guru-guru di bilik darjah untuk memegang gred tertinggi dalam perkhidmatan awam tanpa perlu menjawat jawatan pentadbiran. Pewujudan jawatan Guru Wibawa dan Pendeta Guru yang bakal memegang gred tertinggi dalam perkhidmatan awam juga merupakan satu isyarat jelas bahawa kerajaan amat serius dalam memartabatkan profesyen keguruan.

24. Selain itu, kenaikan gred Pengetua daripada DG48 kepada DG52 dan Penolong Kanan daripada DG44 kepadaDG48 adalah satu pengiktirafan kepada jawatan Pengetua dan Penolong Kanan sekolah menengah. Kenaikan gred ini adalah setimpal dengan pertambahan bebabanan yang terpaksa ditanggung oleh para pengetua dan penolong kanan. InsyaAllah, kenaikan ini akan menambah minat guru-guru untuk memegang kedua-dua jawatan ini yang amat penting dalam kepimpinan sekolah.

Kerjasama Dengan Kesatuan Guru dan Ibubapa

25. Usaha memartabat profesyen keguruan adalah satu proses yang berterusan. Untuk itu, kerajaan sentiasa berusaha untuk menyediakan pelbagai bentuk insentif kepada guru-guru dan menambahbaik keseluruhan perkhidmatan pendidikan dari masa ke semasa, termasuk penambahbaikan dalam Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPLD). Dalam hubungan ini, saya akan bekerjasama dengan kesatuan-kesatuan guru untuk melihat isu-isu yang berkaitan dengan profesyen keguruan secara lebih terperinci dan menyeluruh, serta mencari kaedah terbaik untuk terus memartabatkan profesyen keguruan agar setara dengan darjat kemuliaannya. Pihak Kementerian juga akan terus mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam untuk menyelesaikan beberapa perkara berkaitan dengan perjawatan guru yang telah dibawa kepada perhatian Kementerian sebelum ini. Pihak Kementerian juga akan mempergiatkan program pensiswazahan guru untuk memartabatkan profesyen keguruan di samping memastikan semua guru dapat menikmati pelbagai faedah yang disediakan untuk Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah.

26. Selain itu, dalam usaha kita untuk menjayakan agenda pendidikan negara, peranan ibubapa tidak kurang pentingnya. Malah, ibubapa adalah insan yang paling penting dalam menentukan kecemerlangan pendidikan anak-anak. Justeru, saya juga ingin mengajak ibubapa supaya menjadikan sekolah sebagai milik masyarakat. Ibubapa boleh memberikan sumbangan secara langsung kepada sekolah melalui pelbagai kegiatan sukarela yang dapat membantu melonjakkan prestasi sekolah. Dalam hubungan ini, Persatuan Ibubapa dan Guru boleh memainkan peranan yang proaktif dalam menggalakkan ibubapa untuk menyumbang secara langsung kepada pembangunan sekolah, yang pastinya akan membantu anak-anak untuk meningkatkan pencapaian dalam pendidikan.

Penutup

27. Saya yakin dengan adanya guru-guru yang berdedikasi, kepimpinan kesatuan guru yang proaktif dan ibubapa yang prihatin, InsyaAllah, kita akan dapat menjayakan proses transformasi pendidikan di negara kita dengan cemerlang. Atas segalanya, guru-guru merupakan pemimpin dan penjana utama transformasi negara. Dengan keringat gurulah kita melahirkan insan yang mulia; dengan kudrat gurulah kita membina masa depan yang sejahtera.

28. Dengan amanah besar ini, guru-guru menduduki satu darjat yang paling dimuliakan dalam masyarakat. Bak kata pujangga:

Dialah pemberi paling setia

Tiap akar ilmu miliknya

Pelita dan lampu segala

Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat

Alur kesetiaan mengalirkan nasihat

Pemimpin yang ditauliahkan segala umat

Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

29. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada guru-guru yang telah terpilih sebagai tokoh guru sempena sambutan Hari Guru pada tahun ini. Kepada semua guru, sekali lagi saya mengucapkan Selamat Hari Guru. Semoga para guru sekalian akan terus diberi kekuatan oleh Allah s.w.t. untuk terus menabur jasa kepada nusa dan bangsa.

“Selamat Hari Guru”. “Terima Kasih Cikgu”.

Wabillahi al-taufik wa al-hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Incoming search terms:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Scroll To Top